Tuesday, November 27, 2007


BERITA HARIAN ONLINE
BERITA UTAMA
Demonstrasi bermotif politik. Alasan Hindraf tuntut hak, keadilan untuk masyarakat India sukar diterima: Najib


Oleh: Amirullah Andi Nur

KUALA LUMPUR: Tindakan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) meneruskan perhimpunan haram tanpa mempedulikan larangan mahkamah dan amaran polis di ibu negara kelmarin jelas bermotifkan politik, kata Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dakwaan Hindraf kononnya tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk memperjuangkan nasib masyarakat India yang masih miskin dan ketinggalan selepas 50 tahun negara merdeka adalah alasan semata-mata.
"Kalau kerajaan mengamalkan dasar yang berat sebelah seperti didakwa mereka, tidak mungkin selama ini kaum India menyokong kita dan tak mungkin Barisan Nasional (BN) mampu mencapaIkejayaan besar (dalam pilihan raya). "Ini dia tiba-tiba nak timbulkan isu seperti itu pula. Jelas ia bermotif politik," katanya selepas menyaksikan majlis penyerahan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, semalam.
Pada majlis itu, tiga helikopter Dauphin bernilai RM145 juta diserahkan oleh syarikat pembekalnya Eurocopter, kepada APMM. Agensi itu diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Laksamana Mohammad Nik manakala Eurocopter Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pierre Nardelli.
Hadir sama Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jen Tan Sri Azizan Hashim dan Naib Presiden Kanan Eurocopter, Philippe Harache. Kelmarin, Hindraf tetap berdegil dengan meneruskan perhimpunan haram di beberapa lokasi di sekitar ibu negara termasuk Jalan Ampang, Jalan Tun Razak dan Batu Caves tanpa mempedulikan larangan mahkamah dan amaran polis.
Susulan itu, polis menahan 136 penyokong mereka dan mengambil keterangan 105 orang lagi untuk membantu siasatan kerana menyertai perhimpunan haram itu selain bertindak ganas membaling pelbagai objek ke arah pihak berkuasa serta merosakkan harta awam.
Sekurang-kurangnya empat anggota polis cedera termasuk seorang menerima 11 jahitan di kepala kerana diserang dengan batu bata, tujuh kereta peronda rosak dibaling batu manakala sebuah bas terbakar apabila seorang penunjuk perasaan membaling bom api di Batu Caves.
Dalam satu temubual dengan stesen televisyen Al Jazeera selepas itu, seorang pemimpin Hindraf, P Uthayakumar, mengaku demonstrasi jalanan itu diadakan untuk memalukan kerajaan yang didakwanya meminggirkan nasib kaum India sejak 50 tahun lalu.
Selain itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan pemimpin DAP, Ronnie Liu, turut dilihat berucap dalam perhimpunan itu di Jalan Ampang, berdekatan Hotel Maya kira-kira jam 10 pagi.
Jumaat lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah sebelah pihak menghalang tiga pemimpin Hindraf serta semua pihak yang menyokong badan itu daripada menganjurkan perhimpunan haram meliputi kawasan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain.
Perhimpunan itu diadakan bagi menghantar petisyen mengandungi 100,000 tandatangan mendesak Ratu Elizabeth II membantu menyokong permohonan masyarakat India negara ini yang memfailkan saman menuntut pampasan 4 trilion pound sterling (RM27.7 trilion) daripada kerajaan Britain.
Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan BN tidak akan terjejas dengan tindakan seperti yang dilakukan oleh Hindraf itu sebaliknya yakin akan terus mendapat sokongan padu rakyat.
"Kita akan sahut cabaran ini dan kerajaan BN tidak akan tunduk sama sekali dengan pendekatan politik seperti itu," katanya. Najib berkata perbuatan Hindraf mengadakan perhimpunan haram itu memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan orang ramai selain menjejaskan pelbagai aktiviti harian di sekitar lokasi terbabit. Kelmarin peniaga di sekitar kawasan lokasi perhimpunan seperti Jalan Ampang, kerugian berpuluh ribu ringgit kerana terpaksa menutup premis bagi mengelak kemungkinan tidak diingini.
Sementara itu, Najib berkata, kaum India sudah lama tidak mendapat perhatian dan pelbagai peluang untuk memperbaiki taraf hidup jika Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu tidak ada kuasa sebagai pemimpin parti dan membela nasib kaum India.
Timbalan Perdana Menteri, kehadiran Presiden MIC dalam barisan Kabinet dan pemimpin sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) secara langsung menjelaskan status beliau dalam kerajaan. "Samy Vellu adalah rakan kanan dalam kerajaan, manakala MIC pula rakan kanan dalam BN," katanya.
Ditanya mengenai permohonan Parti Bersatu India Malaysia (Miup) yang dilancarkan kelmarin menyertai BN, Najib berkata, masih terlalu awal untuk memutuskan perkara itu.

No comments: