Thursday, November 1, 2007

TEKS UCAPAN TAN SRI PANDIKAR AMIN HAJI MULIA, Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu Semasa Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO KOTA MARUDU Tahun 2007

Sidang Perwakilan Sekalian,

Adapun tujuan mesyuarat perwakilan tahunan seperti majlis kita pada hari ini ialah untuk membolehkan kita duduk bersama dan mengimbau kembali liku-liku perjuangan sejak mesyuarat yang sudah-sudah Dengan mengimbau kembali masa yang lampau, maka kita akan dapat ketahui kesilapan, kelemahan, kegagalan dan kejayaan. Kalau ada silap, kita perbetulkan, kalau ada kelemahan kita perkukuhkan, kalau ada kegagalan kita lipatgandakan usaha untuk jayakan dan kalau ada kejayaan kita pertahankan agar kejayaan tersebut tidak tercicir dari gengaman. Sehubungan dengan itu, maka izinkan saya untuk mengimbau kembali sejarah ringkas kita bersama - seperjuangan di dalam UMNO Bahagian Kota Marudu dan mengariskan halatuju perjuangan kita untuk masa yang akan datang.

Sidang Perwakilan Sekalian dan pemerhati sekalian,

Sepertimana yang kamu sedia maklum, saya telah di hanyutkan oleh “arus” politik ke kewasan Kota Marudu pada tahun 2004. Keterdamparan saya ke tempat bersejarah ini - tempat pejuang-pejuang penentang penjajah dahulu yang di ketuai oleh Shariff Osman - adalah bukan atas kehendak saya dan bukan atas kehendak ahli-ahli UMNO Kota Marudu. Keterdamparan saya di sini adalah takdir.Memang benarlah maksud pepatah Melayu “sekali air bah, sekali pasir berubah”. Ekoran dari keputusan kerajaan untuk mengubah sempadan kawasan-kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen, maka status kawasan Kota Marudu – yang pada ketika itu di kenal sebagai Bandau – juga berubah. Semua Bahagian UMNO di seluruh negara dibentuk semula di bawah pentadbiran baru yang di panggil sebagai “AJK Penaja”. Di dalam keadaan itu, saya telah diberi kesempatan dan peluang oleh pucuk pimpinan UMNO Pusat untuk memimpin UMNO Kota Marudu sebagai Ketua Penaja. Pada waktu itu, walaupun ada ahli-ahli dan pemimpin UMNO Bahagian ini yang kurang senang, namun atas prinsip akur kepada keputusan pucuk pemimpin, maka UMNO Bagahian Kota Marudu menerima kehadiran saya. Pada tahun 2005, ahli-ahli UMNO Bahagian Kota Marudu telah berpeluang untuk mengubah keadaan melalui pemilihan barisan pemimpin yang baru, akan tetapi Bahagian ini telah memutuskan supaya barisan pemimpin penaja di kekalkan untuk memimpin untuk tempoh tiga tahun. Apa yang memeranjatkan saya ialah, walaupun saya seorang pemimpin musafir dan tidak ada jasa kepada UMNO Bahagian Kota Marudu dan tidak terlibat langsung dengan penubuhan-penubuhan cawangan-cawangan UMNO setempat, namun ahli-ahli UMNO Kota Marudu telah tidak “menghanyutkan” saya kelautan samudera politik tanah air. Status saya sebagai pemimpin musafir telah tidak menjadi penghalang untuk saya di terima sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu.

Sidang Perwakilan Sekalian,

Walaupun keadaan UMNO Kota Marudu tidak sebahagia dan tidak se makmur berbanding dengan keadaan UMNO Bahagian Bandau semasa di terajui oleh Datuk Saidi Suari, Sdr. Jelani Hamdan dan Sdr Datu Bidin Datu Saruddin, namun Bahagian ini masih dapat berfungsi sebagai sebuah Bahagian UMNO yang bermartabat. Sayugia saya peringatkan bahawa sewaktu Datuk Saidi Suari, Sdr Jelani Hamdan dan Sdr Datu Bidin Datu Saruddin menerajui bahagian ini, kuasa politik memihak kepada pemimpin-pemimpin tersebut. Hal maklum pada ketika itu, “saudara angkat” kita yang pada ketika ini berkuasa penuh di Kota Marudu adalah musuh politik ketat kita dahulu. Dahulu, UMNO Bahagian Kota Marudu yang menentukan pelantikan jawatan, pengisian jawatan, pemecatan jawatan, pengagihan projek dan sebagainya. Sejak tahu 2004 semuanya itu telah berubah. Sehubungan dengan perubahan ini, maka ucapan saya pada tahun ini, seperti biasa akan membicarakan CABARAN-CABARAN perjuangan politik yang sedang kita depani bersama.


Sidang Perwakilan dan Pemerhati Sekalian,

Di dalam ucapan saya pada tahun 2005, saya telah gunakan istilah “perubahan cuaca” sebagai perbandingan simbolik dengan “perubahan kuasa” di Kota Marudu. Saya telah nyatakan pada tahun itu bahawa atas sebab “perubahan cuaca” maka kehidupan ahli-ahli UMNO terjejas - ketandusan air - kerena hujan jarang-jarang menimpa di halaman rumah ahli-ahli UMNO.Secara sindiran, saya telah memohon kepada Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah supaya Kota Marudu di berikan sebuah “tangki air” - berwarna biru berlambang keris merah terhunus supaya ahli-ahli UMNO yang telah mulai terjejas penghidupannya atas sebab perubahan cuaca dan kekurangan air dapat menggunakan tangki tersebut untuk menadah air .“Tangki air” yang saya maksudkan di dalam konteks itu ialah seorang wakil rakyat dari kalangan ahli UMNO yang dapat membela nasib ahli-ahli UMNO yang di zalimi. Saya sampaikan cadangan itu secara bersopan dan beradab melalui sindiran - supaya rintihan dan kelohan kita yang disebabkan oleh karena politik saudara angkat, tidak di anggap sebagai suara sumbang, tabiat canggong atau sikap yang janggal. Di dalam ucapan saya pada persidangan perwakilan tahunan tahun 2006 pula, sekali lagi saya bersopan. Secara sindiran, saya telah minta kepada Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah supaya benih padi UMNOT yang di datangkan khas dari tanah seberang, yang tumbuh subur di kawasan lain, tetapi terancat pertumbuhannya di Kota Marudu – di bubuh “baja khas”, supaya padi UMNOT di Kota Marudu tumbuh subur, sama seperti benih padi UMNOT yang tumbuh subur di lain kawasan. Yang saya maksudkan benih padi UMNOT ialah parti UMNO. Sementara “baja khas” ialah permohonan untuk melantik seorang dari kalangan ahli UMNO Kota Marudu untuk menjawat “jawatan khas” seperti Setiausaha Politik supaya dapat membantu mengatasi permasalahan yang sedang didepani oleh ahli-ahli UMNO Kota Marudu.


Sidang Perwakilan dan Pemerhati Sekelian,


Malangnya rintihan dan kelohan kita tidak dianggap oleh pucuk pimpinan UMNO Sabah sebagai permasalahan yang perlu untuk diberikan layanan yang sewajarnya dengan secepat mungkin. Mungkin ada kebenarannya pendapat yang di zahirkan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Musa Hitam suatu masa dahulu bahawa untuk sesuatu teguran atau permohonan atau cadangan itu berkesan atau didengar, penyampainya perlu “kurang ajar sedikit”. Atas kekhuatiran – bahawa ada kemungkinannya pihak yang berwajib – tidak menjiwai rintihan UMNO Kota Marudu apabila ianya di sampaikan secara kiasan dan sindirian yang simbolik, maka ucapan saya pada tahun ini, akan saya sampaikan secara terus terang.


Sidang Perwakilan dan Pemerhati Sekalian,


Pada bulan Juli dan Ogos tahun ini, di mana-mana pun Bahagian UMNO Malaysia bersidang, di dalam ucapan setiap pemimpin yang merasmi persidangan-persidangan bahagian yang berkenaan, rata-rata menyeru kepada ahli-ahli UMNO untuk bersatu untuk menghadang derap langkah musuh-musuh politik UMNO. Seruan untuk bersatu ini ditujukan bukan sahaja kepada ahli-ahli UMNO tetapi ianya juga di tujukan kepada ahli-ahli parti-parti komponen BN yang lain untuk bersatu dengan ahli-ahli UMNO menentang musuh politik kerajaan BN. Sehubungan dengan soal ini, ahli-ahli UMNO di Kota Marudu juga perlu untuk bersatu untuk menghadang derap langkah musuh-musuh politik kita. Akan tetapi, ekoran dari layanan dingin oleh pemimpin-pemimpin sebuah parti komponen BN terhadap ahli-ahli UMNO Kota Marudu, maka seruan untuk bersatu dengan mereka sebagai persiapan untuk menghadapi pilihanraya sukar untuk dilaksanakan. Betapa tidak ahli-ahli UMNO Kota Marudu di anggap oleh pemimpin-pemimpin ini sebagai “penyokong pembangkang”. Dan sebagai tindak-balas kepada layanan dingin mereka ini, kita pula menganggap mereka sebagai “musuh dalam selimut” Sidang Perwakilan dan Pemerhati Sekalian, Terus terang saya nyatakan bahawa walaupun saya mempunyai pengalaman tentang “sepak terjang politik” tanah air, namun saya mengakui bahawa saya tidak mampu untuk berhadapan dengan “musuh dalam selimut”. Ke”pandikar”an saya terhad kepada bergelut dengan musuh-musuh politik yang nyata. Ada pihak yang mengatakan bahawa untuk menghapuskan “musuh dalam selimut”, kita perlu untuk bersekongkol dengan mereka ini. Dalam bersekongkol pula kita perlu berwaspada sepanjang masa dan bersedia untuk “tikam mereka dari belakang”. Adalah sangat malang bagi UMNO Bahagian Kota Marudu yang memilih Ketua Bahagian seperti saya, yang tidak pandai bersekongkol dengan musuh dan tidak pandai tikam dari belakang walau pun yang di tikam itu adalah musuh. Pantang bagi seorang Pandikar menikam dari belakang. Istilah “tikam belakang” membawa makna bahawa si penikam adalah pengecut atau penipu.


Pada zaman penjajahan British, ekoran dari tindakan Paduka Mat Salleh menyerang Pulau Gaya, pihak penjajah hendak bertindak balas untuk menghapuskan kumpulan Mat Salleh yang di anggap mereka sebagai “Lanun”. Apa bila berita serang balas ini sampai ke telinga Paduka Mat Salleh, beliau mengutuskan surut kepada pihak penjajah British di Pulau Gaya untuk mohon tempuh untuk tidak bertempur dahulu buat beberapa ketika sebab beliau kurang sihat. Di dalam surat tersebut Paduka Mat Salleh telah menentukan suatu tarikh dan tempat untuk bertempur. Bagi seorang Pendikar seperti Paduka Mat Salleh, kecundang sewaktu berdepan dengan musuh di medan perang adalah suatu perbuatan yang di hormati. Atas sebab itu, sebagai individu bernama Pandikar dan yang secara kebetulan pula di lahirkan dari kalangan rumpun dan keturunan Paduka Mat Salleh dan Sarif Osman adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan adat pusaka keturunan saya untuk mengamalkan kepimpinan politik “tikam belakang. Seperti dengan pegangan hidup Paduka Mat Salleh:Saya tidak pandai main politik “talam dua muka”. Saya tidak pandai main politik “di depan cakap manis, di belakang cakap asam”. Saya tidak pandai politik berlakun iaitu “perwatakan kena ikut skrip penulis”. Saya tidak pandai politik letak dua kaki, “kalau berhadapan menyokong, di belakang hentam”. Saya tidak pandai politik “mengadu domba”. Saya tidak pandai politik mengubah warna, “kalau warna itu hitam, saya tidak akan katakan putih”. Saya tidak pandai politik “ di suruh angguk saya angguk “


PENDEK kata saya tidak pandai politik “angkat kaki”. Prinsip yang saya amalkan sejak mencebur diri dalam medan politik sejak 26 tahun yang lalu ialah; politik lantas dan lurus politik menyusung arus jika perlu. politik “apa yang tersurat itu lah yang tersirat”. Dan bagi saya politik adalah suatu kerjaya yang perlu diceburi sepenuh masa dengan objektif utama iaitu berkhidmat untuk rakyat dan bukan untuk diri dan keluarga. ‘Kalau saya fakir saya perlu tentang maka saya akan tentang” Kalau saya fakir saya perlu setuju, saya akan setuju; Kalau saya fakir saya perlu sokong, maka saya akan sokong tanpa di ugut atau dibeli. Sebagai bukti kepada amalan politik telus dan tidak ada agenda politik yang tersirat, walaupun berpeluang untuk memperbanyakkan cawangan-cawangan UMNO yang pastinya akan menyokong saya secara peribadi setiap pemilihan bahagian, supaya kedudukan saya selamat sebagai Ketua Bahagian, saya telah tidak berbuat demikian. Sebagai bukti kepada amalan politik ikhlas dan tidak ada syak wasangka yang jahat kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan ahli-ahli UMNO Bahagian Kota Marudu, saya telah menyerahkan nasib politik saya secara bulat-bulat di tangan ahli-ahli UMNO Bahagian dengan mempertahankan jawatan saya sebagai Ketua Penaja UMNO Kota Marudu pada pemilihan parti pada tahun 2005, walaupun saya sedar bahawa saya menghadapi risiko yang amat tinggi iaitu akan kalah atas sebab bahawa saya adalah pemimpin musafir di Kota Marudu dan belum ada jasa pun. Sebagai bukti kepada amalan politik yang cintakan perpaduan dan benci dengan politik perbalahan, saya telah sanggup untuk membubarkan Parti AKAR pada tahun 2003 – sebuah parti siasah politik yang tertua di dalam BN Sabah – dan demi perpaduan menyertai UMNO Sabah tanpa sebarang syarat dan dengan penuh kesedaran bahawa dengan berbuat demikian saya menghadapi risiko politik yang amat tinggi iaitu tidak akan mendapat tempat di barisan kepimpinan UMNO Negeri Sabah.

Sidang Perwakilan dan Pemerhati Sekalian,


Saya sedar bahawa prinsip politik yang saya pegang ini adalah berisiko tinggi. Pemimpin macam saya “tidak panjang umur politiknya”. Akan tetapi cara ini adalah pilihan saya. Seperti Paduka Mat Salleh, biarlah saya kecundang asalkan “kekecundangan” saya itu bermaruah dan berperinsip. Saya sedar bahawa walaupun hujah saya pada hari ini adalah benar namun ianya akan mendapat respon yang negatif dan akan di salah tafsir oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Mereka akan mengatakan bahawa kenyataan ini adalah “angkat bakul sendiri”; Mereka akan mengatakan bahawa kenyataan ini adalah “tidak taat kepada pemimpin” Mereka akan mengatakan bahawa kenyataan ini akan “menjejaskan perpaduan di antara UMNO dan parti-parti komponen BN”. Apapun tanggapan mereka yang berkepentingan ini, atas kebenaran, saya tidak teragak-agak dan segan-silu untuk membuatnya. Demi untuk membela martabat UMNO Bahagian Kota Marudu, saya tetap bersedia dan sanggup untuk menghadapi dan akan tanggung segala risiko negatifnya. Sidang Perwakilan dan Pemerhati Sekalian, Kesanggupan ini di sandarkan di atas kepercayaan dan keyakinan kepada maksud kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin negara dan maksud kata-kata hikmat orang tua-tua dahulu melalui peribahasa mereka. Misalnya di dalam soal yang ada hubungkait dengan “kesetiaan” kepada pemimpin, ada peribahasa Melayu lama yang berbunyi: “Raja adil raja di sembah, raja zalim raja di sanggah” Di dalam hikayat Hang Tua, Hang Jebat telah sanggup untuk mengingkari kehendak rajanya apabila beliau membuat pendirian untuk membela Hang Tua yang di halau dari istana kerana di fitnah oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Pada orang lain Hang Jebat di sifatkan sebagai penderhaka kerana membela Hang Tua yang dimurkai raja. Pada saya, Hang Jebat ada alah penegak keadilan. Hang Jebat adalah pahlawan yang berpendirian dan ada prisip “setia kawan”. Hang Jebat adalah bukan Pendekar yang “disuruh angguk, dia angguk”. Hang Jebat adalah pendekar “pandai menilai” di antara intan dan kaca dan di antara tepung dan kapur. Hang Jebat sanggup berhadapan dengan risiko akan di pancung kepala kerana ingkar kepada kehendak raja semata-mata atas “prinsip setia kawan” untuk menegakkan keadilan dan menentang kemungkaran fitnah yang dibuat oleh mereka yang berkepentingan.

Di dalam konteks politik masa kini pula, panduan saya berhubung dengan soal kesetian kepada pemimpin ialah hujah dan pendapat yang dizahirkan oleh Dato Seri Najib Tun Razak sewaktu merasmikan mesyuarat Perwakilan Tahunan sebuah bahagian UMNO di Semenanjung Malaysia baru-baru ini. Dato Seri Najib Tun Razak di dalam ucapan peresmiannya menyatakan: “Ahli-ahli UMNO perlu untuk setia kepada perjuangan parti dan komitted untuk memperjuangkan objektif parti UMNO” Pengertian saya kepada kenyataan ini ialah, beliau sengaja untuk tidak “mengaitkan “kesetian” dan “kepimpinan” untuk mengelakkan salah pengertian. “iaitu ahli UMNO diseru secara terang-terang untuk setia kepada perjuangan parti dan bukannya pemimpin” Seruan ini di sandarkan kepada kata-kata hikmat “pemimpin datang dan pergi” atau “no leaders are indispensable” Bagi saya, apa yang di maksudkan oleh Dato Seri Najib itu ialah jika perlu, sebagai ahli parti, adalah tidak salah jika kita menentang sesaorang pemimpin atasan sekiranya pemimpin tersebut telah kehilangan ciri-ciri sebagai seorang pemimpin yang baik. Di samping panduan dari pemikiran Timbalan Presiden Parti, Perlembagaan UMNO membenarkan menentang kepimpinan seseorang pemimpin. Itulah makanya setiap tiga tahun sekali, Parti UMNO mengadakan pemilihan barisan kepimpinan baru diseluruh cawangan, bahagian dan peringkat pusat, kecuali jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti. Bagi saya bertanding merebut sesuatu jawatan adalah suatu perbuatan “tentang-menentang” kepimpinan di antara pemimpin pemimpin yang terlibat. Bertanding untuk merebut sesutu jawatan dalam parti adalah merupakan suatu kenyataan pendirian yang tidak dilafazkan secara lisan. Umpamanya, jika Pemimpin A, bertanding jawatan naib presiden parti, pendiriannya yang tidak dilafazkan secara lisan ialah menentang pemimpin lain yang bercalon untuk merebut jawatan yang sama – naib presiden Kalau perlembagaan parti membenarkan pemimpin-pemimpinnya bertentangan sewaktu pemilihan, maka adalah tidak salah sekiranya pemimpin-pemimpin bahagian menentang kepada pemimpin di peringkat badan perhubungan secara lisan demi untuk kepentingan ahli-ahli parti atau parti itu sendiri.

Dato Onn Jafar, pengasas kepimpinan UMNO telah kehilang pengaruh di dalam UMNO apabila pendirian beliau untuk “memultirasialkan” UMNO telah tidak di terima oleh bangsa Melayu. Kejadian ini membuktikan bahawa kesetian kepada pemimpin ada hadnya. Apa bila Baginda Rasullulah S.A.W wafat, kepimpinan agam Islam telah jatuh di tangan Baginda Abu Bakar as Siddik sebagai sahabat pertama Rasulullah S.A.W. Di dalam khutbahnya sebagai pewaris kepada kepimpinan, beliau berhujah: “Taati kepimpinan saya selagi saya berpegang teguh kepada ajaran agama Islam yang di sebarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.” Baginda Abu Bakar telah menghadkan “kesetiaan” kepada kepimpinannya. Hadnya ialah “selagi ianya berpegang kepada ajaran agama Islam”. Dalam erti kata lain beliau menyeru umat Islam untuk menentangnya apabila beliau “menyeleweng” atau hilang ciri-ciri kepimpinan sebagai pemimpin Isalam.Sidang Perwakilan dan Pemerhati Sekalian,Kalau kenyataan saya pada hari ini di anggap oleh mereka yang berkepentingan sebagai kenyataan “angkat bakul sendiri”, respon saya kepada tanggapan ini ialah, cara berpolitik sekarang dengan cara berpolitik dahulu adalah berbeza. Cara berpolitik sekarang ialah “bakul yang berisi barangan baik” tidak akan di angkat oleh pihak yang berkepetingan. Sebaliknya pihak yang berkepentingan akan “menyorok” atau “menyembunyikan” bakul-bakul yang baik. Politik masa kini memasarkan bakul masing-masing. Atas sebab itu, saya terpaksa “angkat bakul politik saya”, Ini adalah kerana, saya berperasaan bahawa walaupun isi bakul saya lebih menarik dari isi bakul orang lain, namun bakul saya di tutup atau tidak diberikan harga yang setimpal dengan kualitinya. Atas andaian tersebut,


Datuk Timbalan Ketua Perhubungan merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO,


Salah kah saya angkat bakul saya sendiri?

Sidang Perwakilan dan Pemerhati Sekalian,


Kalau kenyataan saya pada hari ini di anggap oleh mereka yang berkepentingan sebagai “kenyataan yang menjejaskan perpaduan di kalangan parti-parti komponen BN setempat”, respon saya kepada tanggapan ini ialah, “Berapa berat mata memandang, lebih berat bahu memikul”; Begitu lah cerita si periuk dan belanga. Apabila siperiuk menuduh bahawa badan sibelanga hitam, siperiuk terlupa bahawa badannya pun hitam juga. Bagi saya, yang menjejaskan perpaduan di kalangan parti-parti komponen di Kota Marudu ini bukan ekoran dari kenyataan-kenyataan yang di buat oleh saya atau pemimpin pemimpin UMNO yang lain. Sebenarnya yang menjejaskan perpaduan ialah perbuatan pemimpin pemimpin yang berkepentingan itu sendiri yang bersikap seperti “kacang melupai kulit”Sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,Pepatah Melayu ada menyatakan; “ Ada ubi ada batas, ada budi ada balas” Ada pun maksud pepatah ini ialah, setiap perjuangan mengharapkan balasan. Seorang individu - walau apa pun agama yang dianutinya membuat kebaikan atau beribadat dengan harapan bahawa amalnya akan mendapat balasan yang setimpal. Seorang nelayan, sanggup mengharungi lautan bergelora tanpa perasaan takut dengan kemungkinan ianya tenggelem, dengan harapan ianya akan dapat menangkap ikan yang besar. Seorang petani berusaha membangunankan tanahnya tanpa mengenal penat lelah, dengan harapan, semua benih tanaman yang disemainya akan tumbuh subur. Seorang peniaga berusaha untuk memajukan perniagaannya dengan harapan, usaha gigihnya akan memperolehi keuntungan yang lumayan. Seorang olaragawan, berlatih siang dan malam dengan dengan harapan bahawa latihannya akan dapat membantunya sewaktu hari pertarongan. Seorang bapa bertungkuslumus untuk memelihara dan mendidik zuriatnya dengan harapan bahawa di suatu masa nanti, anak anaknya akan menjadi insan yang beguna kepada masyarakat dan dengan harapan dihari tuanya anak-anaknya akan dapat membantunya. Seorang pelajar sanggup untuk tidak cukup tidur sewaktu malam untuk mengulagkaji mata pelajaran sebelum menjelang hari pepereksaan, dengan harapan bahawa pada hari pepereksaan ianya akan dapat menjawab semua soalan-soalan dan dengan demikian akan lulus dengan merkah yang tinggi.


Atas sebab itu, maka adalah suatu perkara yang normal dan tidak keterlaluan, sekiranya seorang ahli parti, bertungkus lumus untuk mendokong dan menyokong partinya, dengan harapan bahawa apabila partinya memegang tampok kuasa, sedikit sebanyak partinya akan dapat membantu mengatasi permasalahannya. Atas sebab itu, adalah tidak salah kalau pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO Bahagian Kota Marudu mengharapkan balasan atau imbohan dari perjuangan dan dokongan mereka kepada parti UMNO sejak ianya bertapak di Sabah.Orang lain tidak boleh salahkan kita di atas pendirian yang kita tegakkan, iaitu “pengorbanan memerlukan ganjaran”. Pemimpin atasan UMNO pula tidak perlu takut untuk membantu kita walaupun tindakan itu di anggap oleh pihak yang berkepentingan “menjejas perpaduan di dalam BN”. Di dalam hal ini, pucuk pimpinan UMNO perlu berani dan ingat maksud kata-kata hikmat, “Charity begins at home” maksudnya, “kemurahan hati itu seharusnya bermula dari rumah”. Bersandarkan kepada falsafah ini, pemimpin UMNO dahulu telah berani untuk menggubal satu dasar ekonomi baru – yang di anggap oleh bangsa lain sebagai dasar yang condong membantu rumpun Melayu ekoran dari kejadian 13 Mei – demi untuk kebaikan semua bangsa di negara ini. Sehingga pada hari ini, masih ramai bangsa lain yang menganggap bahawa Dasar Ekonomi Baru sengaja di gubal oleh pemimin Melayu untuk membantu bangsa Melayu, akan tetapi pemimpin UMNO tidak menghiraukan itu semua.Atas alasan yang sama, kenapakah pucuk pimpinan UMNO Negeri Sabah teragak-agak untuk membantu UMNO Kota Marudu mengatasi masalah yang sedang di hadapi? Apakah pengalaman politik yang telah berlaku di Kuala Penyu di dalam pilihanraya tahun 2004 – di mana calon BN telah kalah di tangan calon bebas – ekoran dari sikap pemimpin BN yang berkenaan yang telah tidak disenangi oleh ahli-ahli UMNO setempat, tidak cukup untuk diambil sebagai iktibar?


Sidang Perwakilan dan Pemerhati Sekalian,

Untuk makluman anda sekalian, keadaan kuasa politik yang tidak seimbang di Kota Marudu telah pernah berlaku dan di rasai oleh ahli-ahli UMNO di Negeri Selangor sebelum pentadbiran negeri tersebut di terajui oleh YAB Dato Khir Toyo. Dahulu kawasan Port Kelang tidak mempunyai wakil rakyat dari parti UMNO. Dan Begitu juga kawasan Petaling Jaya Utara. Tetapi atas kebijaksanaan dan keperhatinan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Selangor yang baru, Dato Khir Toyo, kini kawasan Port Kelang di wakili oleh Datuk Zakaria Derus dan bagi kawasan Petaling Jaya Utara pula, seorang senator dari parti UMNO telah di lantik oleh kerajaan untuk memperseimbangkan kuasa-kuasa komponen parti-parti BN setempat.Datuk Timbalan Ketua Perhubongan UMNO,Setahu kami ahli-ahli UMNO Kota Marudu, sebagai tulang belakang kerajaan Negeri Sabah, Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah merangkap Ketua Menteri mempunyai kuasa untuk memperseimbangkan kuasa-kuasa politik setempat di Daerah Kota Marudu.


Perlembagaan Negeri Sabah memberikan kuasa kepada Ketua Menteri untuk melantik enam orang wakil rakyat sebagai tambahan kepada bilangan wakil rakyat yang diundi oleh rakyat. Na, kuasa ada di dalam tangan, kenapakah kuasa ini tidak digunakan demi untuk kebaikan ahli-ahli UMNO? Kalau pemimpin UMNO di tanah seberang berani untuk menggunakan kuasa demi untuk kebaikan UMNO dan BN, kenapakah pemimpin UMNO Sabah takut menggunakan kuasa yang di “halal”kan oleh undang-undang? Atau, apakah rintihan kami ahli-ahli UMNO Kota Marudu tidak layak untuk dilayan oleh pucuk pimpinan UMNO Sabah dengan sewajarnya? Bukan kah ahli-ahli UMNO Kota Marudu, seramai lebihkurang 13,000 orang mempunyai hak yang sama dengan ahli-ahli UMNO di bahagian lain?
Datuk Timbalan Ketua Perhubungan UMNO,


Perasaan tidak puas hati di kalangan ahli-ahli dan pemimpin UMNO Kota Marudu terhadap sikap pemimpin-pemimpin komponen BN mentadbir Daerah Kota Marudu telah tersohor. Pendirian kami ini di sandarkan kepada fatwa politik Tun Musa Hitam pada suatu ketika dahulu. Sewaktu merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, yang pada ketika itu dipimpin oleh Suhaimi Kamaruddin, di dalam ucapannya yang ditunggu-tunggu oleh perwakilan, Tun Musa Hitam telah menegur Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di atas sikap pergerakan tersebut yang tidak berani membuat teguran-teguran atau kritikan-kritikan kepada pihak pihak yang berkenaan, termasuk pemimpin atasan UMNO. Tun Musa Hitam menyifatkan sikap dingin Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada ketika itu sebagai satu sikap yang seolah-olah pergerakan tersebut di jangkiti oleh suatu penyakit yang beliau namakan sebagai penyakit “Sindrom Membisu”. Berpandukan fatwa politik Tun Musa Hitam, kami telah tidak “menyorok” atau “menyembunyikan” perasaan ketidakpuasan kami atas sebab, kami khuatir, di suatu hari nanti pihak yang berwajib akan mengatakan kepada kami; “Kenapa tidak beritahu awal-awal permasalahan kamu, UMNO Kota Marudu di jangkiti penyakit Sindrom Membisukah?”Datuk Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah ,Di samping fatwa politik Tun Musa Hitam itu, kelantangan kami UMNO Kota Marudu di sandarkan kepada tradisi parti UMNO. Parti UMNO berpegang kepada “perbincangan” secara terbuka – walaupun apa yang dibincangankan itu di anggap oleh pihak lain yang berkepentingan sebagai perkara sensitif. Umpamanya, di dalam setiap Persidangan Tahunan UMNO di PWTC, pemimpin-pemimpin yang turut membahas permasalahan yang dihadapi oleh UMNO dan rakyat negara ini di bincang secara terbuka – walupun ada pihak lain terasa tersinggung – demi untuk kepentingan bersama. Berpaksikan kepada tradisi ini, kami ahli-ahli UMNO Kota Marudu tidak gerun untuk menyuarakan permasalahan kami – walaupun ada pihak yang menganggap – bahawa apa yang kami zahirkan itu akan menjejaskan hubungan baik di antara pemimpin-pemimpin komponen BN dan UMNO setempat. Pendirian kami jelas iaitu kami tidak tamak. Kami cuma mohon untuk diberikan hak politik yang sepatutnya diberikan kepada kami dengan tidak perlu kami bertegang urat leher. Ketidaktamakkan ini dapat dilihat dari sikap kami iaitu, kalau UMNO Bahagian lain beruntung kerana mempunyai wakil rakyat dari kalangan UMNO yang berkedudukan sebagai menteri atau ketua menteri, kami akan berpuashati dengan nasib yang kurang baik – iaitu dengan adanya seorang wakil rakyat lantikan yang akan dapat menyuarahkan rintihan kami di Dewan Undangan Negeri. Kami tidak tamak dan minta yang bukan-bukan, kami cuma mohon belas ehsan teman seperjuangan kami di dalam UMNO yang lebih bernasib baik dari kami untuk membantu kami terlepas dari belenggu penghinaan.


Datuk Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah ,

Yang membuat hati-hati kami bergelora, meronta-ronta, menjerit kesedihan dan kadangkala terfikir untuk memberontak ialah sementara pihak yang berwajib kepada kami mempunyai pilihan untuk membantu atau tidak membantu kami, kami tidak ada pilihan lain. Pihak yang berwajib kepada kami – sekiranya memilih jalan untuk tidak membantu – boleh memberikan alasan-alasan, seperti alasan; “saya tidak dapat tunaikan permohon kamu sebab saya tidak mahu lukai hati pemimpin-pemimpin komponen BN demi untuk tidak menjejaskan hubungan baik di antara UMNO dengan parti-parti komponen BN”


Alasan seperti itu, sedikit sebanyak ada kelogikannya apabila digunakan sebagai helah. Alasan ini adalah seperti maksud Pepatah Melayu: “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” Sebaliknya, kami tidak ada alasan lain yang akan diterima oleh pucuk pimpinan UMNO sekiranya kami memilih jalan untuk ikut perasaan iaitu tidak menyokong pihak “musuh dalam selimut” sewaktu pilihanraya nanti. Kalau kami berbuat demikian, kami akan dihukum tanpa belas ehsan. Kami akan di anggap sebagai “pembelot dan penderhaka” kepada perjuangan UMNO dan BN.Kalau kami tidak undi kepada calon “musuh dalam selimut”, nasib kami sama dengan nasib ahli-ahli UMNO di Kuala Penyu. Setelah teranyaya bertahun-tahun, dan mengambil jalan untuk ikut perasaan dan “membalas dendam’ sewaktu pilihanraya, ahli-ahli UMNO Kuala Penyu yang di ketuai oleh seorang pemimpin yang telah mempertahankan martabat UMNO sejak bertapak di Sabah, kini di anggap “penderhaka” walaupun punca tindakan mereka dicetuskan oleh “ketidakadilan” pihak lain kepada ahli-ahli UMNO.


Datuk Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah ,


Dilema kami di Kota Marudu ialah, sebagai ahli parti yang bukan luarbiasa, kami tidak dapat contohi sikap Nelson Mandela – seorang pejuang berkulit hitam yang menentang kezaliman – yang dapat mengampunkan dosa-dosa pemimpin-pemimpin kulit putih di Negara Afrika Selatan yang telah bertanggung jawab untuk menyumbat beliau di penjara selama 27 tahun. Setelah dibebaskan dari penjara dan diangkat sebagi Presiden Negara Afrika Selatan, Nelson Mandela telah mengampunkan dosa-dosa pemimpin-pemimpin kulit putih dengan tidak membalas dendam. Tetapi sebaliknya beliau telah bersikap adil kepada pihak yang telah menzalimi rumpun bangsanya, masyarakat berkulit hitam. Dilema kami di Kota Marudu ialah, sebagai ahli parti yang bukan luarbiasa pegangan hidupnya, kami tidak dapat contohi sikap Mahatma Ghandi – seorang pemimpin berketurunan India yang menentang kezaliman Penjajah British – yang dapat mengawal perasaannya dan pengikut-pengikutnya. Walaupun mereka dipukul berdarah bergelimpangan di dalam suatu kejadian “mogok”, mereka membiarkan pihak yang berkuasa memukul mereka tanpa membalas atas menepis setiap pukulan yang di lakukan ke atas diri mereka.


Datuk Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah ,


Dilema kami di Kota Marudu ialah, sebagai ahli parti yang bukan luarbiasa keinsafannya terhadap falsafah berkorban tanpa ganjaran, kami tidak dapat ikut jejak langkah Dalai Lama – pemimpin Tibet yang melarikan diri dari negara sendiri kerana tekanan politik – di mana beliau menzahirkan secara terbuka sewaktu ditemubual oleh Riz Khan, pengacara TV Al Jazeera, bahawa perjuangan beliau adalah tidak mengharapkan sebarang pujian sewaktu hidup atau setelah mati. Perbuatan yang mengharap ganjaran menurut Dalai Lama adalah perjuangan yang beragenda sendiri.


Datuk Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah ,


Dilema kami di Kota Marudu ialah sebagai insane-insan biasa, setiap kami mempunyai sikap dan aspirasi yang sama seperti ahli-ahli UMNO di Bahagian-Bahagian lain iaitu; Kalau ahli-ahli UMNO di Bahagian lain berbangga dan berbahagia dengan kejayaan dan kecemerlangan Bahagian mereka yang mempunyai wakil rakyat yang bergelar Menteri – yang boleh membela nasib mereka, adalah tidak salah bagi kami ahli-ahli UMNO Kota Marudu untuk beraspirasi bahawa suatu hari nanti kami akan mempunyai wakil rakyat biasa yang kalaupun tidak dapat membantu mengatasi masalah kami sebagai menteri, tetapi setidak-tidaknya sebagai wakil rakyat biasa dapat menyuarakan rintihan kami di majlis khas iaitu pada setiap Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah atau Persidangan Parlimen. Kalau ahli-ahli UMNO di Bahagian lain bergembira dengan pengiktirafan pucuk pimpinan UMNO Negeri Sabah kepada barisan kepimpinan mereka sehinggakan ada di antara pemimpin mereka yang di sandangkan dengan anugerah gelaran-gelaran negeri yang tinggi seperti gelaran Datuk, adalah tidak salah bagi kami ahli-ahli UMNO Kota Marudu untuk mengemukan rayuan kepada pucuk pimpinan UMNO Negeri supaya jawatan-jawatan seperti Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, WKAN, KAN , CDO, Pemaju Mukim, Pemaju Masyarakat dan lain lain yang disandang oleh UMNO sebelum pilihanraya tahun 2004 tidak terlucut dan di ambil oleh pihak lain. Kalau ahli-ahli UMNO di Bahagian lain berpuashati dengan pengiktirafan kepada pemimpin mereka yang dinaikan pangkat dari jawatan Menteri kejawatan menteri yang lebih senior, adalah tidak salah bagi kami ahli-ahli UMNO Kota Marudu, meminta supaya satu kawasan daripada 3 kawasan DUN dan Parlimen di berikan kepada UMNO pada pilihanraya akan datang atas perundingan dengan parti komponen yang berkenaan. Kalau UMNO boleh bertolak ansur dengan parti yang berkenaan dengan menerima parti tersebut untuk masuk kembali ke pangkuan BN setelah UMNO di tikam dari belakang, dan sekembali mereka kepangkuan BN, mereka diberikan layanan dengan baik sehinggakan diberi jawatan-jawatan menteri, tidak kah parti ini boleh memberikan UMNO tolak ansur yang sama untuk membalas budi baik UMNO?


Datuk Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah,


Sebagai makluman, walaupun UMNO Kota Marudu hidup bagaikan rumput di tepi jalan, hidup segan mati tak mahu, namun kami tidak berputus asa. Sejak tahun 2004 kami telah berusaha untuk membebaskan diri dari belenggu penderitaan. Kami tahu bahawa penyakit politik yang sedang kami hidapi ini adalah penyakit yang mudah diubati. Kami tahu ianya akan sembuh apabila diubati oleh bomoh politik yang serasi dengan kami. Pada firasat kami, bomoh politik yang selama ini kami cari telah pun ditemui pada tahun ini. Mudah-mudahan dengan izin Allah Subahan-a-wataallah jua penyakit politik yang kami hidapi ini akan sembuh. InsyaAllah..





Posted by: Pak Amin.






LEARNING.


Life isn't about waiting for the storm to pass,


it's about learning to dance in the rain.-




-Unknown –

1 comment:

Unknown said...

Inilah yg dikatakan sbg "pemimpin berprinsip". Syabas Pak Min!!! Mudah2an slps era "kePANDIKARan" akn muncul era "keSATRIAan" di bumi Marudu, bumi berdaulat. In Shaa ALLAH.... Aamiiin....