Amaran PM jangan cabar undang-undang negara
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan demonstrasi jalanan yang dirancang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang hari ini bukan cara untuk membawa perubahan, sebaliknya ia perlu dilakukan menerusi pilihan raya.Perdana Menteri berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menghadapi rakyat dengan dada terbuka serta berdepan parti pembangkang yang sering mempertikaikan proses pilihan raya yang adil.“Daripada dulu sampai sekarang kita ingatkan diri kita, kita tak lupa hadapi rakyat untuk dapatkan penilaian daripada mereka apakah kerajaan ini diterima dan diakui sebagai baik dan bawa pembangunan seperti yang diharapkan.“Kita tak pernah takut hadapi pilihan raya, kita sedia hadapi rakyat dengan dada terbuka... biar mereka (rakyat) buat perhitungan dan penilaian. Ini meyakinkan rakyat yang kerajaan kita bukan gila kuasa. “Bila tiba masanya kita bubarkan Parlimen dan temui rakyat untuk dapat mandat sekali lagi,” katanya yang juga Presiden Umno ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2007.
Katanya, beliau dimaklumkan per himpunan anjuran Bersih, sebuah gabungan NGO dan parti pembangkang di Dataran Merdeka hari ini yang diteruskan, walaupun tidak diberikan permit polis.“Saya dukacita, apakah ini mereka mencabar kerajaan dan kepemimpinan. Sebenarnya yang mereka cabar dan nak ketepikan ialah undang-undang. Mereka mencabar undang-undang dan peraturan, tetapi rakyat mahu negara ini aman, selamat dan stabil sepanjang masa.“Itu yang dicabar (undang-undang), bukan saya... tapi saya nak kata saya pantang dicabar,” katanya disambut sorakan tanda sokongan daripada perwakilan.
Dalam ucapan 55 minit itu, beliau meminta rakyat menolak demonstrasi jalanan kerana ia bukan cara dan amalan demokrasi di Malaysia dan tidak sepatutnya diterima.Beliau secara tegas dan lantang berkata, mereka yang mengadakan demonstrasi tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kekecohan yang timbul apabila polis mengambil tindakan, sebaliknya meletakkan kesalahan kepada polis.“Lepas itu marah polis (dengan mengatakan) ini polis punya hal... supaya orang benci polis. Sebenarnya mereka yang sebabkan semua ini berlaku, bukan polis. Jika (mereka) ikut undang-undang dan peraturan, tak jadi macam itu.“Jika nak bawa perubahan, tunggu pilihan raya sama-sama kita hadapi dan tengok siapa yang rakyat mahu. Apa nak takut hadapi pilihan raya,” katanya.Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersetuju dengan permintaan pembangkang supaya menggunakan peti kertas undi yang telus cahaya dan dakwat penanda pada jari pengundi.Sehubungan itu, katanya, keadilan dalam pilihan raya tidak harus dipersoalkan kerana pembangkang juga menang dalam beberapa pilihan raya seperti di Kelantan, Terengganu dan Sabah sebelum ini.“Mereka boleh menang. Jika kita ‘control’ (kawal) semuanya tak ada harap boleh menang, tetapi itu bukan cara kita,” katanya.Sambil melahirkan rasa amat kesal dengan tindakan pihak yang merancang demonstrasi itu, Abdullah berkata, undang-undang dan kedaulatan negara mesti sentiasa dihormati.“Jika undang-undang pun tak boleh hormat, apa nak jadi. Inikah (cara) nak jadi kerajaan. Nak jadi pemimpin, undang-undang perlu dihormati... ini amat penting,” katanya.
Pada sidang media kemudian, Perdana Menteri yang ditanya bertubi-tubi mengenai pendirian kerajaan berhubung perhimpunan itu menegaskan ia perhimpunan haram dan polis meminta mereka yang berkumpul di Dataran Merdeka bersurai.Mengenai hujah pembangkang bahawa kebebasan berhimpun dijamin Perlembagaan Persekutuan, Abdullah berkata, negara juga ada undang-undang menjamin hak rakyat lain. “Kita ada undang-undang dan mesti memikirkan kebebasan pekedai, rakyat biasa dan peniaga... itu kita kena fikir juga, bukan kita fikir kebebasan satu kumpulan saja.“Kebebasan mesti yang tidak membawa kesusahan kepada orang lain yang mesti bebas berniaga... nak pergi sana sini tanpa gangguan,” katanya.
Ditanya sama ada beliau bimbang Malaysia akan dilihat seperti Myanmar kerana menghalang perhimpunan itu dan tidak demokratik, Abdullah berkata: “Malaysia bukan Myanmar, saya tidak fikir begitu.”Mengenai laporan siasatan panel khas mengenai kesahihan rakaman klip video perbualan didakwa mengenai pelantikan hakim, Perdana Menteri berkata: “Kita akan baca dan jika ia berkaitan kepentingan umum kita buat keputusan.”
No comments:
Post a Comment