Saturday, December 8, 2007

DARI BERITA HARIAN: BATAL HINDRAF ENTERPRISE IKUT PERATURAN


Oleh Khirul Bahri Basaruddin dan Junita Mat Rasid


MUAR: Kerajaan menyokong tindakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membatalkan lesen perniagaan Hindraf Enterprise selepas didapati digunakan untuk tujuan menyalahi undang-undang. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata SSM di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu mengikut peruntukan sedia ada. "Saya tidak menghalang tindakan itu kerana adalah tanggungjawab dia (SSM) yang boleh laksanakan. Saya tidak ada halangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kesejahteraan Rakyat Peringkat Negeri Johor di sini, semalam.

SSM semalam melalui kenyataan akhbar membatalkan serta-merta lesen perniagaan syarikat Hindraf Enterprise yang dipercayai ada kaitan dengan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf). Menurut kenyataan SSM, tindakan itu diambil kerana perniagaan syarikat terbabit ‘tidak bersesuaian dengan keselamatan negara serta ketenteraman awam.’ Katanya, tindakan membatalkan pendaftaran perniagaan syarikat itu, yang berkuat kuasa semalam, dibuat mengikut subseksyen 5C(2) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.


Pendaftar Perniagaan di bawah suruhanjaya itu menjalankan kuasanya mengikut subseksyen 5C(2) APP 1956, selepas berpuas hati bahawa perniagaan Hindraf Enterprise digunakan bagi kedua-dua tujuan itu. Ditanya sama ada Hindraf juga perlu dibatalkan pendaftarannya, Abdullah berkata, soal pembatalan pendaftaran Hindraf tidak timbul kerana Hindraf bukan sebuah pertubuhan yang didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan. Bagaimanapun, katanya, polis sedang memantau kegiatan Hindraf di luar negara dan akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menarik balik pasport mereka jika didapati melakukan jenayah. "Rakyat Malaysia bebas pergi ke mana-mana kerana Malaysia bukan negara yang menyekat rakyatnya untuk keluar, tetapi jika mereka mempunyai masalah jenayah, tentulah pasport mereka akan ditarik balik dan tidak dibenarkan keluar," katanya.


Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Hindraf sepatutnya diharamkan kerana membuat tuntutan secara luar biasa, melulu dan mencemar negara. Katanya, tindakan Hindraf yang tidak bersifat Malaysia dan tidak boleh dibenarkan bermaharajalela di negara ini. "Kita tidak boleh bertolak ansur dengan Hindraf dan perlu diharamkan kerana kita tidak mahu hal perpaduan yang terjalin sejak sekian lama ini dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab," katanya. Katanya, perpaduan masyarakat majmuk di negara ini akan dirosakkan oleh kegiatan seperti Hindraf.

No comments: