Saturday, December 8, 2007

PM BERHAK GUNA ISA-Samy


Dari Berita Harian Online.

PM berhak guna ISA bila perlu
Oleh Azman Mahmood


KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, berkata menjadi hak mutlak Perdana Menteri jika beliau mahu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf). “MIC tidak akan campur tangan. Ia terpulang kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memutuskan bila akta itu dilaksanakan apabila sesuatu keadaan bahaya berlaku dalam negara,” katanya. Beliau memberitahu demikian kepada pemberita ketika mengulas gesaan daripada sebilangan veteran politik bahawa sudah tiba masa untuk kerajaan mengenakan ISA ke atas dalang dalam Hindraf.

Desakan itu dibuat berikutan pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada Khamis lalu bahawa pemimpin Hindraf sudah meminta bantuan dan sokongan kumpulan pengganas di Sri Lanka. “Bagi MIC, agenda Hindraf hanya diketahui kumpulan itu dan sudah tentu bukan memperjuangkan peningkatan taraf hidup masyarakat India di negara ini,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Nagarathars 2007 di sini, semalam. Ditanya sama beliau akan bertemu dengan pemimpin Hindraf jika mereka mahu berbincang dengannya, Samy Vellu yang juga Menteri Kerja raya secara menyindir berkata: “Mereka tidak akan melihat kami (MIC) kerana kita semua makhluk asing.”

“Banyak kali saya menawarkan diri untuk berjumpa mereka tetapi mereka enggan. Saya maklumkan kepada mereka jika mereka mahu berjumpa dengan saya, saya sedia bertemu dan berbincang. Mereka kata tidak mahu...hasrat mereka lebih tinggi daripada saya,” katanya. Samy Vellu berkata, sebagai pemimpin kaum India, beliau berhak menyuarakan bagi masyarakat India di negara ini. “Kami warga Malaysia sudah tinggal di negara ini untuk sekian lama. Saya dilahirkan di negara ini, ayah saya lahir di negara ini, hanya datuk saya berasal dari India. Jika ambil kira anak dan cucu saya, kami sudah berada di negara ini selama empat generasi. “Ini negara kami. Kami tidak pulang ke India, India bukan negara kami. India adalah negara nenek moyang saya. Saya adalah rakyat Malaysia. Saya mempunyai semua hak untuk tinggal di sini. Saya mempunyai hak untuk memperjuangkan apa yang diperlukan oleh komuniti India di sini,” katanya.

Sebagai negara berbilang bangsa, Samy Vellu berkata, pemimpin setiap kaum perlu menggunakan pemikiran betul apabila meminta kerajaan melakukan sesuatu untuk masyarakat masing-masing supaya tidak timbul salah faham antara satu sama lain. Beliau berkata, kerajaan sudah banyak menyediakan kemudahan kepada masyarakat India dan beliau akan terus berjuang untuk meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat itu. “Bagi diri saya...saya mesti beritahu anda...apa jua yang saya mahu untuk komuniti India, saya akan berjuang dalam kerajaan,” katanya. Lebih 500 peserta termasuk separuh dari New Delhi dan Madras menghadiri konvensyen lima hari itu khusus bagi keturunan ceti. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Ashok K. Kantha dan Pengerusi Suruhanjaya Undang-Undang India, Hakim Dr AR Lakshmanan.

No comments: